Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Muhammad Sadri Bin Haji Shuaib, Bukit Merah ( 1924 - 1998 )


Tuan Guru Haji Muhammad Sadri Bin Haji Shuaib dilahirkan pada 19 Disember 1924 di Bukit Merah, Bagan Serai, Perak. Beliau berasal dari keturunan Banjar. Kedua orang tuanya kuat berpegang dengan agama. Abangnya Tuan Haji Anang Menteri merupakan Imam di Masjid Bukit Merah, Bagan Serai manakala adiknya adalah isteri kepada Tuan Guru Haji Osman Bin Haji Abbas Masjid Tinggi. 

Beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Bukit Merah. Bagan Serai sehinga tamat darjah lima. Seterusnya melanjutkan pelajaran di dalam bidang agama di Pondok Batu 5, Jalan Baru, Parit Buntar berguru dengan Tuan Guru Haji Arsyad Bin Haji Mat Yasin. Kemudian beliau menyambung pula ke Madrasah Khairiah Islamiyah, Pokok Sena berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Hussien. Selepas beberapa tahun, beliau pergi mendalami pengajian agama di Mekah selama lebih kurang 7 tahun membawa isteri dan dua orang anaknya sekali. 

Tuan Guru Haji Sadri adalah pengasas dan juga mudir kepada Sekolah Agama Rakyat Bukit Merah bersama Tuan Guru Haji Shamsuddin al-Banjari selama beberapa tahun. Di antara anak muridnya yang berjaya ialah anak saudaranya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Jamhari Bin Haji Muhammad Bagan Serai serta Ustaz Abdul Jalil Bin Haji Sagaf - Naib Qadhi dan guru agama kawasan Felda Gunung Besaout, Sungkai. 

Selain daripada itu, beliau juga merupakan guru agama mengajar di masjid-masjid serta surau di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama. Beliau juga menjawat jawatan Naib Qadhi Bukit Merah, Bagan Serai dan guru dakwah serta guru takmir.

Dari segi kemasyarakatan pula, Tuan Guru Haji Sadri merupakan Imam di Masjid Bukit Merah, Imam Masjid Tebuk Pancor Bukit Merah dan juga Imam Surau Bukit Merah.

Jawatan-jawatan yang lain pula adalah pengkhursus bakal-bakal Haji bagi kawasan Larut Matang dan Selama yang bertempat di Masjid Taiping. Orangnya berwatak lembut namun tegas. Juri tilawah al-Quran peringkat daerah Kerian.

Beliau telah berkahwin dengan Fowsia Binti Haji Taib yang dilahirkan pada 19 Mei 1934 dan meninggal dunia 19 Oktober 1992 ketika berumur 58 tahun. Anak-anak mereka adalah :

1. Mohamad Nasir (meninggal dunia)
2. Abdul Hadi (meninggal dunia)
3. Abdul Aziz 
4. Muhammad Said 
5. Norlela (meninggal kecil)
6. Muhammad Dimyati 
7. Muhamamd Lutfi (meninggal kecil)
8. Adibah 
9. Muhamamd Najib 
10. Muhammad Pawzi 
11. Munawar 
12. Samsiah (meninggal kecil)

Setelah setahun isterinya meninggal, beliau bernikah pula dengan Hajah Saniyah Binti Haji Zaini yang juga ada kaitan dengan arwah isterinya yang pertama. Beliau meninggal dunia pula 2006 dan tidak mempunyai zuriat.

Atas jasanya yang tidak ternilai, beliau telah dikurniakan pingat PJK oleh Sultan Perak.

Tuan Guru Haji Sadri akhirnya meninggal dunia pada 29 Julai 1998 ketika berusia 74 tahun. Jenazahnya disemadikan Tanah Perkuburan Islam Bukit Merah.












Sumber - Temubual Ustaz Din Kroh bersama Ustaz Mohamad Hanafiah (cucu saudara Allahyarham)-Tengku Yusuff

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom