Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Sabak Bernam menjadi Daerah kecil Kuala Selangor


Dari tahun 1820an sehingga 1960, Daerah Sabak Bernam telah dikuasai oleh tiga buah entiti pentadbiran yang berbeza. Pada tahun 1828 sehingga 1858, Sabak Bernam merupakan sebuah wilayah bebas dan berdaulat di bawah penguasaan Raja Hitam, Raja Mat Aris dan Raja Indut. Raja Hitam ibni Raja Onus dilantik sebulat suara di kalangan saudaranya untuk mewarisi pemerintahan di Sabak Bernam setelah Raja Onus ibni Raja Usoh Ibni Sri Sultan Ibrahim Shah mangkat. 

Namun begitu, keadaan ini mula berubah apabila pihak British berjaya masuk campur urusan pemerintahan di Selangor rentetan perang saudara yang berlaku pada ketika itu. Raja Hitam berpihak kepada Raja Mahadi yang berseteru dengan pakatan Raja Abdullah - Tengku Kudin, namun Raja Mahadi telah kalah dalam perang tersebut.

Campur tangan British dalam pemerintahan Selangor telah mendesak dan memujuk dengan pelbagai janji kepada Raja Hitam untuk menyerahkan kedaulatannya ke atas wilayah Sabak Bernam ke dalam pemerintahan Selangor.

Mungkin kerana tidak mahu melihat sekali lagi perang berlaku, Raja Hitam akhirbya akur tetapi dengan diikat syarat seperti didalam surat perjanjian Bernam. Kebajikan waris Raja Hitam dan pembangunan Sabak Bernam antara intipati yang terkandung di dalam perjanjian tersebut.

Setelah penyerahan itu berlaku, maka rasminya status Sabak Bernam diturunkan daripada sebuah wilayah berdaulat menjadi daerah kecil dibawah 
pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Selangor, dengan gelaran daerah kecil Sabak Bernam. Pada tahun 1941 perang dunia kedua telah meletus, dalam peperangan tersebut pihak British di Tanah Melayu telah tewas kepada pihak Jepun.

Oleh yang demikian, secara automatik pihak Jepun merupakan kuasa penjajah yang berkuasa di Tanah Melayu pada waktu itu. Isumura San dilantik sebagai Pegawai Tadbir yang bertanggungjawab di Daerah Sabak Bernam. Pasca Perang Dunia Kedua, cadangan perlunya Sabak Bernam berdiri sendiri sebagai sebuah daerah mula kedengaran. Pemimpin-pemimpin Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam (PMDSB) pertubuhan pertama bercorak politik di Sabak Bernam bukan sekadar menentang Malayan Union dan terlibat dalam penubuhan UMNO bahkan antara penggerak awal memperjuangkan tertubuhnya daerah Sabak Bernam.

Pembangunan infrastruktur yang perlahan dan jarak yang terlalu jauh dengan pusat daerah di Kuala Selangor menyebabkan pemimpin-pemimpin tempatan terus mendesak Sabak Bernam dikeluarkan daripada terus menjadi daerah kecil Kuala Selangor. Perjuangan dalam tempoh dari tahun 1940an sehingga tahun 1960 menyaksikan pengorbanan masa dan wang ringgit bukan kepalang orang-orang terdahulu sehingga secara rasminya Daerah Sabak Bernam dimasyhurkan pada 1 Julai 1960.

Rujukan : Jaafar bin Hj Ali dalam Persatuan Melayu Sabak Bernam, Serba Ringkas Sejarah Sabak Bernam


Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom