Buang Bin Mohamed Ali digelar sebagai Indiana Jones Melayu. Buang adalah pembantu atau rakan Alfred Russel Wallace dalam beberapa ekspedisi di Kepulauan Melayu. Tidak banyak yang diketahui mengenai dirinya, selain dari maklumat yang diberikan oleh Wallace sendiri dalam bukunya. Nama beliau muncul secara langsung dalam karya Wallace seperti The Malay Archipelago (1869) dan My Life (1905), yang mana beliau digambarkan sebagai pembantu setia yang turut serta dalam pelbagai ekspedisi ke hutan belantara, gunung dan pulau-pulau Nusantara. Walaupun tidak memiliki gelaran atau pendidikan formal seperti rakan-rakan Eropah Wallace, Buang memainkan peranan utama dalam menggerakkan ekspedisi saintifik yang menjadi tonggak kepada teori penting seperti "Garis Wallace".
Buang bin Mohamed Ali dipercayai berasal dari Sarawak atau kawasan sekitarnya di Kepulauan Melayu. Sebagai orang tempatan, Buang menjadi penghubung utama antara Wallace dengan masyarakat pribumi. Beliau berfungsi sebagai penterjemah, perunding, dan kadang-kadang sebagai perantara diplomatik ketika ekspedisi bertembung dengan komuniti luar. Buang juga arif mengenai kawasan tempatan termasuk laluan sungai dan hutan. Dalam beberapa insiden, beliau menyelamatkan Wallace daripada bahaya binatang buas dan penyakit. Beliau juga bertugas dalam membantu Wallace mengumpul spesimen biologi termasuk burung, serangga dan mamalia kecil. Wallace sendiri memuji kecekapan Buang dalam mengendali perangkap, mengenal pasti spesies unik, serta penyimpanan spesimen untuk dihantar ke Eropah.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kisah Buang bin Mohammed Ali ini terpinggir dari catatan sejarah. Antaranya kerana beliau tidak meninggalkan sebarang catatan bertulis. Semua rujukan berkenannya hanya diperoleh daripada Wallace. Buang bin Mohamed Ali mungkin tidak meninggalkan jurnal atau tesis, namun hasil kerja tangannya menyumbang secara langsung kepada asas sains biogeografi moden. Dalam era pascakolonial ini, sudah tiba masanya untuk mengiktiraf semula peranan beliau, bukan hanya sebagai pembantu Wallace, tetapi sebagai seorang saintis lapangan Melayu yang telah dipinggirkan oleh sejarah. Sebuah tugu peringatan yang menghargai sumbangan Alfred Russel Wallace dan Buang bin Mohammad Ali boleh dilihat di Muzium Sejarah Alam Lee Kong Chian (LKCNHM) di Singapura.
Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI
KONGSIKAN: