Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Manaqib Tuan Haji Said dan sejarah Kampung Pasir Panjang


Mukim Pasir Panjang mengandungi kampung- kampung utama seperti Kampung Tali Air 7 Parit 7. Kampung Parit 9 Baroh, Kampung Parit 7 Baroh, Kampung Tali Air 8 Sungai Leman, Kampung Parit 8 Sungai Leman, Kampung Sungai Leman dan Kampung Batu 23, Sungai Nibong.

Nama Pasir Panjang mengikut ceritanya diberikan kerana keindahan pantai di kawasan ini pada masa dahulu. Orang-orang dahulu suka turun ke laut menangkap ikan. Semasa pulang ke pantai, mereka ternampak satu kawasan pasir yang panjang dari pantai Sekinchan sampailah ke Sungai Besar. Kawasan pasir di sini sangat putih dan dipenuhi kulit kerang sehinggakan tiada batu yang kelihatan, memutih dan memanjang sejauh berbatu-batu. Memang kelihatan amat jelas pasir putih itu sungguh panjang tetapi sayangnya, keadaan ini sudah tidak wujud lagi pada masa kini. Tidak tahu ke mana hilangnya pasir itu sama ada terhakis kerana air laut atau sebaliknya. Oleh kerana itu, dinamakan kawasan ini Pasir Panjang kerana kawasan pasir itu memang panjang dan cantik.

Mengikut cerita yang lain, Kampung Pasir Panjang ini dibuka pada tahun 1911 oleh Haji Said yang berasal dari Tanah Jawa. Beliau pernah tinggal di Singapura, Banting, Sungai Buaya, Sepang dan seterusnya di Pasir Panjang. Pada masa beliau mula-mula sampai di Pasir Panjang ini, beliau telah duduk di tepi sebatang pokok di tepi pantai. Maka kelihatan oleh beliau keadaan pasir di tepi pantai itu dipenuhi oleh kulit kerang yang memutih dan menutupi pasir di situ. Beliau telah bertanya kepada seorang nelayan yang kebetulan lalu di situ dan bernama Wak Basri. Beliau bertanyakan mengenai nama tempat itu, namun Wak Basri menjelaskan bahawa tempat itu masih tiada nama lagi.

Mendengar jawapan nelayan tersebut, maka Haji Said berfikir, alangkah elok jika kawasan pasir yang panjang dan indah ini dinamakan Pasir Panjang. Oleh itu, beliau pun mulalah membuat penempatan di situ dan membawa bersamanya ramai ahli keluarga beliau yang berasal dari Jawa.

Kawasan pekan lama Kampung Pasir Panjang bukan terletak di kawasan pekan yang ada sekarang tetapi terletak di kawasan tepi laut. Walau bagaimanapun, pekan lama tersebut sudah tiada kerana dihakis oleh air laut sekitar tahun 1957.

Dari segi perkembangan dan pembukaan kawasan di Pasir Panjang ini, ia juga mempunyai kaitan dengan kedatangan pekerja atau buruh dari kalangan Orang Asli yang datang dan dibawa dari Batu Laut dan Banting untuk membuka kawasan dan menebang hutan di kawasan ini. Ini kerana, di peringkat awal perkembangannya, kawasan Barat laut Selangor terkenal dengan kawasan sawah padinya iaitu sekitar tahun 1969 dan hutan-hutan dibersihkan bagi tujuan membuka kawasan pertanian. Kumpulan Orang Asli ini berjumlah sekitar 1,000 orang dan mereka ditempatkan di bangsal-bangsal yang dibuat sebagai tempat tinggal selama kerja-kerja menebang hutan dilakukan. Kerja-kerja menebang hutan ini dilakukan dari kawasan Simpang Lima hingga sampai ke Sekinchan.

Tuan Haji Said bin Haji Salleh JP
1849-1969

Manaqib ringkas Tuan Haji Said

Tuan Haji Said bin Haji Salleh Bin Kakek Tsur bin Kakek Suntani dilahirkan pada tahun 1849 dan meninggal dunia pada tahun 1969 iaitu pada umurnya 120 tahun. pusaranya terletak di Kampung Parit 9 bersebelahan pusara isterinya, Hajah Fatimah. Beliau telah berhijrah ke Tanah Melayu dari Tanah Jawa bersama beberapa orang temannya dan dalam perlayaran ke Tanah Melayu, beliau diceritakan terlibat dengan pertempuran melawan lanun.

Mengikut kisah orang lama di Pasir Panjang, beliau merupakan pengasas Kampung Pasir Panjang yang dibuka sekitar tahun 1911 dan beliau juga merupakan pengasas kepada pembinaan Masjid Parit 9 setibanya beliau ke kawasan sekitar Perkuburan disitu.

Gambar dipercayai Tuan Haji Said bin Haji Saleh dalam rakaman dokumentari pembinaan terusan main canal

Pusara Haji Said bin Haji Saleh di Parit 9 Pasir Panjang

Lokasi asal tapak Masjid Parit 9 yang pertama
(Masjid Pasir Panjang)

Daripada Masjid diadakan pula di sekolah agama bagi kemudahan anak-anak kariah menuntut ilmu yang dikenali Sekolah Rendah Agama Rakyat yang memberikan peluang pendidikan sehingga sijil Rabi' Thanawi.

Tanah yang terbinanya Sekolah Agama Rakyat ini merupakan tanah wakaf. Ustaz Haji Ismail bin Haji Said iaitu anak bongsu kepada Haji Said. Beliau yang pernah mendapat pendidikan di Maahad Hishamuddin, Klang merupakan pengetua sekolah ini sehingga akhir hayatnya dan pernah mendapat anugerah tokoh guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Diceritakan bahawa dahulunya, terdapat pondok-pondok dibina oleh para pelajar disekeliling sekolah ini bagi memudahkan urusan pengajian. Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang dahulunya merupakan tapak Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Masjid Saidiah Pasir Panjang yang wujud kini berhadapan Jalan Persekutuan FR5 mengambil nama sempena pengasasnya, Tuan Haji Said bin Haji Saleh setelah berpindah randah di beberapa lokasi.

Semasa hidupnya Tuan Haji Said terlibat dalam membuka dan menguruskan tanah yang mana kemudiannya diserahkan kepada penduduk kampung untuk membina rumah dan mengusahakan sawah padi.

Menurut cerita orang-orang lama di Pasir Panjang, ketika Ustaz Haji Ismail bin Haji Said menjadi Nazir Masjid Pasir Panjang selama hampir 40 tahun, Masjid tersebut dikatakan tidak pernah dikunci. Hal ini memberikan peluang dan kebebasan kepada sesiapa sahaja di kalangan para jemaah keluar masuk ke masjid untuk beribadah dan ketika itu tiada sebarang aduan mengenai kehilangan apa-apa barangan masjid dilaporkan.

Ustaz Haji Ismail juga membenarkan sesiapa golongan mahupun alim ulama walaupun berbeza parti politik untuk datang ke masjid untuk memberikan kuliah agama.

Selain itu, Kampung Pasir Panjang juga pernah dikunjungi oleh Sultan Selangor dan para pembesar negara seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Terdapat satu kisah mistik yang diceritakan mengenai Kampung Pasir Panjang, dimana kampung ini turut menjadi kawasan pemukiman makhluk bunian dan Tuan Haji Said meminta makhluk bunian tersebut berpindah ke kawasan lain. Menurut cerita orang lama di sini, mereka melihat kelibat kelompok makhluk bunian tersebut menaiki kuda menuju ke arah laut setelah diminta untuk berpindah.

Selain itu, di zaman Perang Dunia Kedua, Kampung Pasir Panjang pernah didatangi oleh tentera Jepun dan dijamu oleh Tuan Haji Said dengan air kelapa. Oleh kerana itu, Penduduk Kampung Pasir Panjang tidak diganggu oleh tentera Jepun yang sememangnya terkenal dengan sikapnya mereka yang ganas.

Walaupun terdapat cerita dahulunya pimpinan Kampung Pasir Panjang ini tidak membenarkan orang bukan Islam mendiami kampung ini, namun orang Islam masih mampu berurus niaga dengan masyarakat bukan dengan baik.

Pusara Ustaz Haji Ismail bin Haji Said di Kampung Pasir Panjang


Sejarah Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang


Pada tahun 1964, beberapa orang Jawatankuasa Kampung Pasir Panjang telah berbincang dan mengambil keputusan untuk membuka kelas agama dan akhirnya bermulalah persekolahan di serambi masjid bermula dengan empat (4) kelas dan bilangan pelajar seramai 80 orang. Kelas di serambi masjid ini tidak kekal lama apabila Tuan Haji Omar bin Haji Said ( ketua kampung ) pada ketika itu memindahkan kelas pembelajaran ke rumahnya. Tuan Haji Omar bin Haji Said merupakan anak kepada Tuan Haji Said bin Haji Salleh dan abang kepada Tuan Haji  Ismail bin Haji Said. Tindakan pemindahan ini diambil bersama Pengerusi Penubuhan Sekolah Tuan Haji Lokman bin Yusof dan beberapa jawatankuasa kampung yang lain dan bermulalah sesi persekolahan dengan dipimpin oleh Ustazah Muzaiyanah binti Akhyak sebagai Guru Besar pertama sejak 1964 hingga 1968 dengan bilangan pelajar seramai 80 orang. Ustazah Muzaiyanah pernah mendapat pendidikan di Sekolah Agama Rakyat Manba’ul Ulum Sawah Sempadan Tanjung Karang. Beliau merupakan adik kepada Almarhum Ustaz Sanip Bin Akhya, seorang guru agama di Tanjung Karang. Beliau juga pernah menimba ilmu al-Quran di bawah bimbingan Tuan Guru Tan Sri Haji Hasan Azahari.

Dari tahun 1968 hingga 1970, pengajaran terus dijalankan dan Guru Besar disandang pula oleh Tuan Haji Ismail bin Said dengan bilangan pelajar bertambah kepada 100 orang. Pada ketika itu sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Agama Pasir Panjang sahaja.

Pada tahun 1970 apabila bangunan baru siap dibina dan mengandungi enam kelas dan telah dirasmikan oleh YB Encik Ghafar bin Baba, Menteri Pembangunan dan Luar Bandar pada ketika itu, iaitu pada 25 April 1970 bersamaan 19 Safar 1390 Hijrah. Sekolah ini telah dinaikkan taraf kepada Sekolah Agama Khas dan telah menarik minat orang ramai untuk memasukkan anak-anak belajar agama dan akhirnya menambah bilangan pelajar kepada 190 orang. Pada masa itu Guru Besarnya ialah Tuan Haji Ismail bin Haji Said ( 1970 sehingga 1978).

Pada 2 Januari 1979 sekolah agama ini sekali lagi telah dinaikkan taraf kepada nama Sekolah Agama Menengah Rendah dan Tuan Haji Ismail bin Haji Said terus memegang jawatan peneraju hingga 31 Disember 1983.

Pada 31 Disember 1983, Tuan Haji Ismail bin Haji Said telah sampai persaraan wajibnya, maka pada 3 Januari 1984, Tuan Haji Marwan bin Kasikon telah ditugaskan untuk mengambil alih tugas Guru Besar pada ketika itu.

Tuan Haji Ismail bin Said telah memegang jawatan sebagai Guru Besar di sekolah ini selama 15 tahun 11 bulan 30 hari. Manakala Ustazah Muzaiyanah binti Akhyak (Isteri Tuan Haji Ismail bin Hsji Said) berkhidmat selama 4 tahun 11 bulan 30 hari. Tugas ini terus disambung oleh Ustaz Marwan bin Kasikon sebagai Guru Besar hingga 31 Disember 1993.

Pada 1 Januari 1994 sekali lagi sekolah ini dinaikkan taraf kepada Sekolah Agama Menengah Pekan Pasir Panjang dan Guru Besar dinaikkan taraf kepada Pengetua. Tuan Haji Marwan bin Kasikon terus memegang jawatan Pengetua hingga 15 Ogos 1994, di mana beliau berpindah ke Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani. Beliau ( Tuan Haji Marwan bin Kasikon ) telah berkhidmat di sekolah ini selama 10 tahun 7 bulan 12 hari. Pada masa beliau menerajui sekolah ini bangunan baru telah dapat dibina dan disiapkan iaitu pada 29 Mei 1989 telah diserahkan kepada sekolah Bangunan 2 blok 2 Tingkat dan 3 Tingkat yang mengandungi 7 kelas 1 makmal, 1 kelas KHB, Bilik Pusat Sumber, Bilik guru dan Pejabat Pentadbiran telah diwujudkan. Beliau terus berkhidmat di sekolah ini hingga 15 Ogos 1994 dengan bilangan pelajar seramai 380 orang.

Pada 16 Ogos 1994 tugas ini telah diamanahkan kepada Tuan Haji Abdullah Salleh bin Hj Sulaiman hingga 31 Oktober 2000 dengan kakitangan guru seramai 29 orang dan kakitangan sokongan seramai 7 orang telah mengorak langkah dengan bilangan pelajar 540 orang. Perancangan demi perancangan telah disusun pada masa Ustaz Haji Marwan bin Kasikon yang berkhidmat sebagai pengetua dari 1 November 2000 hingga 31 Disember 2004 untuk menaikkan taraf kepada SAMT (Sekolah Agama Menengah Tinggi) dengan pertambahan kelas, kakitangan, pelajar, guru dan sebagainya, telah disusun dengan rapi. 

Pada 1 Januari 2005 hingga 22 September 2005 SAM Pasir Panjang telah ditadbir pula oleh pengetua baru, iaitu Ustaz Mohd Dawam bin Dolah. Walaupun usia perkhidmatan beliau di sekolah ini amat singkat, namun beliau amat komited dan telah berusaha memajukan sekolah ini sama ada dari aspek akademik, ko-kurikulum mahupun sahsiah pelajar.

Mulai 1 Oktober 2005 pula, sekolah ini ditadbir oleh Puan Hajah Fauziah bt Mohd Saleh, iaitu pengetua yang berkhidmat sehingga ke saat ini. 1 November 2007 telah mengubah tampuk pentadbiran di mana sekolah ini dengan rasminya menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Melalui pendaftaran sekolah dengan pihak kementerian, maka pentadbiran sekolah ini adalah terletak di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia. Namun pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih berkuasa di atas tanah dan bangunan serta pelaksanaan Kurikulum Agama (Kurikulum Al-Azhar). Buat ketika ini, SAM Pasir Panjang melaksanakan dua (2) jenis kurikulum, iaitu Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Al-Azhar.

Rujukan :
Koleksi Cerita Rakyat - asal usul tempat
Ustaz Shamsul Maarif (anak Tuan Haji Ismail bin Haji Said)
Halaman rasmi SAM Pasir Panjang

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom