Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah penghulu Slim Village yang ditawan pengganas Komunis



Parti Komunis Malaya (PKM) ialah sebuah pertubuhan yang diasaskan di Tanah Melayu pada tahun 1920an yang mempunyai matlamat besar untuk mewujudkan sebuah republik Komunis di Tanah Melayu. Malangnya, terdapat segelintir orang Melayu yang tergamak menyertai pertubuhan ini yang berselindung di sebalik propaganda membela nasib rakyat bawahan walhal cukup jelas ideologi Komunisme sendiri bertentangan dengan akidah Islam yang dianuti oleh orang Melayu sendiri.

Ketika kedatangan Jepun, PKM membentuk Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka. Disekitar tahun 1950 an, Penghulu Mukim Slim Village di Perak yang bernama Penghulu Abdul Rahman Satri telah ditawan oleh pengganas komunis.

Menurut cerita isteri mangsa Som Binti Ibrahim kepada keluarganya, penghulu ditawan komunis di dalam Masjid Slim Village sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat pada bulan Ramadhan di mana pada ketika itu, umat Islam juga sedang sibuk membuat persiapan untuk menjelang hari raya yang akan tiba  seminggu lagi.

Penghulu Mukim Slim Village yang ditawan di Masjid Slim Village kemudian dibawa secara paksa ke rumahnya sendiri oleh pengganas komunis. Kemudian pengganas komunis terus menggeledah rumahnya dan mengambil apa sahaja yang mereka mahu.

Isteri mangsa yang ada di rumah terkejut dan merayu agar suaminya tidak diapa-apakan lantas terus meminta agar membawa dirinya sekali bersama-sama dengan suaminya.

Mungkin kerana rimas dengan desakan isteri mangsa, ketua kumpulan komunis yang menawan Penghulu Abdul Rahman Satri pun berkata kepada isteri penghulu, “Kami ada sedikit urusan dengan Tok penghulu. Lagi dua ke tiga hari kami akan hantar pulang.”

Ungkapan yang diberi oleh ketua kumpulan komunis itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan resah si isteri namun risaunya tidak reda memikirkan nasib suaminya kerana komunis sememangnya tidak boleh dipercayai.

Setelah peristiwa yang mencemaskan di rumah penghulu, Penghulu Abdul Rahman Satri yang ditawan terus dibawa ke hutan Ulu Slim. Sejak dari hari itu, Penghulu Abdul Rahman Satri terus hilang tanpa khabar berita sehingga ke hari ini. Isteri yang tabah dan taat pada suaminya itu sabar menanti yang memakan masa tahun demi tahun.

Penantiannya tidak pernah berakhir mengharapkan kepulangan suaminya yang kali terakhir dilihat dibawa pergi oleh pengganas komunis. Isteri penghulu menanti kepulangan suaminya sehingga ke penghujung hayat pada pertengahan tahun 1990an.

Dipercayai, penghulu tersebut telah dibicarakan di dalam hutan mengikut undang-undang komunis dan beliau telah dihukum mati kerana kononnya menjadi ancaman besar untuk pihak komunis kerana tidak mahu bekerjasama dengan mereka. Sehingga ke hari ini, tidak diketahui dimana jasad dan kuburnya. 




KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom